“A B C D E F G, H 1 N 1 selsema babi..”
Salikin menyanyikan lagu yang dicipta oleh rakannya ketika balik sekolah petang Jumaat lalu.
WABAK H1N1 semakin menular. Semua sibuk berbicara mengenainya. Ibubapa mula risau, anak-anak tidak dibenarkan keluar bermain lagi. Guru-guru mula kecoh bila ada di antara murid mereka yang terlibat dengan wabak ini hingga ada yang mencadangkan supaya sekolah di tutup. Saya juga tidak terkecuali. Lebih-lebih lagi pada awal penularan wabak ini, seisi keluarga saya jatuh sakit (kecuali ayah). Dan saya sendiri telah melakukan pemeriksaan sebanyak 2 kali, memandangkan sakit semula setelah sembuh. Simptom-simptom seperti yang dimaklumkan kementerian, semuanya ada pada saya.
Namun, Alhamdulillah kami terselamat dari musibah ini. Kalau doktor yang saya temui pada kali pertama berpesan supaya saya meninggalkan makan buah-buahan dan memakai topeng, doktor kedua lebih bagus. Heheh. Tanpa dipinta (macam tahu-tahu aja) berpesan supaya kami tidak bimbang, dan menerangkan keadaan sebenar mengenai penyakit ini.
Kajian menunjukkan sesungguhnya wabak ini akan menular untuk jangka masa 6 bulan, bermula dengan kematian yang ‘ringan’ sehinggalah kemuncaknya, dan kemudian akan beransur pulih. Kalau minggu ini kematian mencecah 10 orang, minggu hadapan mungkin 20 orang. Minggu ke-3 pula mungkin sampai ke angka 40 orang, dan seterusnya. Ini kata beliau pada minggu pertama terjadinya kematian akibat wabak ini di Malaysia. Dan pada minggu tersebut jugalah sekolah dan kolej adik-adik saya di’cuti’kan seminggu.
Tapi pada hari ini, apa yang berlaku, sekelip mata sahaja, sudah berpuluh kematian dilaporkan. Ada juga beberapa pihak yang mengatakan bahawa jumlah sebenar mangsa disembunyikan oleh pihak kementerian, kononnya tidak mahu merisaukan rakyat. Sekiranya benar, saya juga tidak pasti apakah motif yang ingin dicapai dengan kerahsiaan ini, sedangkan wabak ini meragut nyawa rakyat. Tentulah risau! Hatta pihak istana juga ada yang dikuarantinkan setelah ada warganya yang disyaki mengidap penyakit ini.
H1N1 menurutnya lebih ditakuti oleh masyarakat berbanding kematian akibat denggi yang ketika itu menjangkau 60 kes kematian. Saya terfikir juga, agak-agaknya mengapa ini boleh terjadi. Mungkinkah kerana ‘kebimbangan’ ini tidak disampaikan kepada masyarakat, berbanding H1N1 yang lebih diminati untuk dijadikan isu. Peranan media lah yang paling penting dalam hal ini. Semenjak dua ini, barulah saya melihat iklan-iklan menyarankan warga Malaysia menjaga kesihatan dari penyakit denggi. Tetapi masyarakat biasa, khususnya yang mempunyai waktu yang ‘ringkas’ untuk menonton televisyen misalnya, akan menganggap iklan tersebut adalah iklan biasa, seperti iklan kementerian yang lain. Mungkin perlu didedahkan juga kepada mereka berapakah jumlah kematian terkini.
Jika benar-benar kes denggi amat kronik ketika ini, mengapa hanya kes kematian H1N1 yang dilaporkan media? Adakah kerana H1N1 isu antarabangsa, sedangkan denggi hanyalah kes ‘rakyat satu Malaysia’, maka H1N1 perlu diutamakan? Apa yang lebih dipentingkan, ke’gempar’an isu atau nyawa masyarakat?
Cuba kita lihat pula apa yang tersirat di sebalik wabak yang melanda negara kita yang tercinta ini. Dengan isu dengginya, H1N1, jerebu, dan ragut hingga meragut nyawa (melampau-lampau betul golongan terlampau ini.. sepatutnya mereka inilah yang patut ‘dikerjakan’ oleh FRU). Adakah ini semua sekadar isu dan masalah, atau ada sesuatu yang lain? Seseorang ada menyebut : “Ini azab dari Tuhan, henti-hentikanlah membuat maksiat.”
Marilah bersama membaca doa ini (doa ketika terjadi penyakit menular) di musim-musim penyakit ini, di samping bertaubat kepada-Nya dan minta dijauhkan dari bala dan fitnah.
“Aku membenteng diri dengan nama Tuhan yang mempunyai kemuliaan dan kekuatan, aku berpegang teguh pada Tuhan yang menguasai alam nyata dan alam ghaib, aku bertawakkal kepada Tuhan yang hidup dan tidak mati selama-lamanya. Semoga kiranya Engkau hindarkan kami ya Allah dari bala dan wabal. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
:: CUKUP BAGIKU ALLAH ::


2 comments:
Moga kita semua dijauhkan dari bala bencana yang menimpa.
Salam Ramadhan,
Semoga beroleh keberkatan ibadah dan ilmu di bulan yang mulia ini.
Catat Ulasan