
SYAWAL makin hampir. Bermakna Ramadhan kian berlalu pergi. Gembirakah kita? Atau duka melanda? Atau biasa saja?
Saya terkenang butiran nasihat dari pensyarah yang disayangi suatu ketika dahulu.
"Apakah yang telah kita laksanakan sepanjang melalui Ramadhan? Apakah cukup puasa kita? Apakah qiamullail sempurna kita tunaikan? Masihkah kita di tahap yang sama sebelum dan selepas menjalani bulan Barakah yang hanya sebulan ini? Adakah kita bijak mengaut Rahmat Allah yang melimpah ruah, bulan di mana musuh utama kita dibelenggu?".
Saya terkedu.
"Adakah Syawal yang ingin disambut ini sekadar adat, atau benar-benar meraikan kejayaan kita? Apakah layak kita berhari raya?".
Hampir menitis air mata saya ketika itu. Kata-kata yang dilafazkan dengan nada yang tenang dan suara yang rendah, benar-benar menusuk ke hati. Pelajaran sirah hari itu seolah-olah kami kembali ke zaman Nabi s.a.w.
"Bagaimanakah caranya Nabi s.a.w mengajar kita menyambut Hari Raya? Apakah Syawal itu petanda amalan kita perlu terhenti? Bukankah Aidil Fitri ini tanda kemenangan dan kesyukuran pada-Nya?"
Ya Allah. Indahnya andai dapat berhari raya bersama Nabi-Mu. Bagaimana ya suasana raya ketika itu?
Setelah 4 tahun beraya di perantauan, kini Allah izinkan saya untuk sekali lagi berhari raya bersama keluarga (jika diizinkan insyaAllah). Namun perbezaan suasananya amat ketara sekali.
Di Jordan, hari raya seolah-olah tidak tiba. Pesta Ramadhan lebih meriah. Setelah solat sunat Hari Raya ditunaikan, raya sudah habis! Pagi raya pun, hanya anak-anak Malaysia yang meriah dengan baju raya berwarna-warni, cantik berbaju kurung, segak bersampin baju melayu (yang dikatakan 'skirt' oleh sesetengah Arab). Masyarakat Arab masih sama seperti biasa. Sama seperti hari-hari biasa.
Lain pula halnya dengan tanahairku yang tercinta. Belum lagi Ramadhan benar-benar berlalu, stesen Media sudah berlumba-lumba mengiklankan program-program 'menarik' mereka sepanjang Raya. Seolah gembira dengan pemergian Syawal. Bukankah seharusnya di malam-malam akhir ini, pencarian Lailatul-Qadr semakin rancak dan meriah? Jika menoleh pada ibu-ibu dan kaum wanita pula, di hujung-hujung Ramadhan ini semakin sibuk memikirkan juadah hari Raya. Gelisah sungguh pabila kuih yang ada di hadapan mata hanyalah 3-4 jenis. Ish, perlu ditambah lagi ni!
Apakah erti 1 Syawal ini bagi kita? Apakah ertinya pada jumlah kuih yang terkumpul, atau ertinya pada barangan 'serba baru' di rumah kita - sofa baru, langsir baru, alas meja baru...? Atau Syawal ini benar-benar sebagai tanda kemenangan bagi kita? Andai kita ingin buktikan kesyukuran pada-Nya, mengapa malam raya lah malam yang paling ramai manusia lupa Tuhan? Seolah sudah cukup segala amalan.
Wahai umat Muhammad,
Apakah kita mahu amalan yang dikumpul sebulan Ramadhan, hilang begitu saja di pagi 1 Syawal? Jika kita benar-benar cintakan Nabi-Nya, ayuh contohi baginda dalam Berhari Raya!
Memetik mutiara Imam Syafie dalam kitab Al-Umm :
"Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab ada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Sya'ban"
::CUKUP BAGIKU ALLAH::
1 comments:
Salam.Due to some inconvenience, I've changed my blog link (again). Hehe.. Sila jangan marah.. ^_*
http://beyondthepowers.blogspot.com/
Catat Ulasan