DENGAN perasaan bersemangat, saya melangkah ke kelas tingkatan 3. Calon PMR 2009 yang hanya seramai 10 orang di sekolah ini masing-masing punya cara dan sikap tersendiri. Hari pertama lagi mereka membuat permintaan agar saya menggantikan guru kelas mereka. Dan setelah mendapat lampu hijau, barulah saya berani menjalankan tugasan saya sebagai guru pemantau, yang sememangnya bukan mudah.
Kisah 1
Benar kata orang, pengalaman itu harus dicari dan dikutip. Ia tidak datang bergolek. Pengalaman orang lain juga berguna, itu pun bagi yang tahu dan mahu memanfaatkannya. Seorang graduan yang 'fresh' (atau makna lainnya, suci lagi tulus dan mulus) perlu belajar bagaimana berhadapan dan meletakkan tanggapan terhadap anak muridnya sebelum 'masuk' ke dalam dunia mereka..
"Siapa dalam Bahasa Arab apa?", seorang guru yang penuh semangat bertanya.
"Maa..", anak murid yang juga cukup confident pula menyahut..
Berubah muka si guru. Menelan air liur. Biar betul budak-budak ni.
"Maa..??", si guru menyoal kembali.
"Eh, salah eh.. Ainaa!!", sekali lagi mereka yakin.
Hadoi. Ini bukan tahu. Ini 'hentam' namanya. Hentam bermakna mereka tidak tahu. Atau mereka tak mahu ambil tahu.
"Bukanlah sayang oii.. Siapa dalam Bahasa Arab, Man! Buka buku nota, salin ni dan hafal!", si guru mengurut dada. Menenangkan hati. Cabaran sudah memanggil! Otak ligat berfikir, macammana mereka ni hendak mengambil PMR, sedangkan perkara paling asas dalam subjek ini pun mereka tidak ambil peduli?
Pengajaran : Expect the worth in whatever you have to do!
Pengajaran : Expect the worth in whatever you have to do!
Kisah 2
Subjek Pendidikan Islam adalah antara subjek kegemaran saya suatu ketika dahulu. Tips utama untuk skor dalam subjek ini adalah membaca dan menghafal fakta, selain memahami pelajaran (terutama bab hukum fiqh). Tetapi subjek yang dikatakan paling mudah untuk skor A ini, bukanlah begitu di mata anak-anak sekolah ini. Usahkan kata menghafal, membaca pun bermasalah! Belum dikira soal tidak tahu menulis jawi lagi..
Untuk menarik perhatian mereka, pada minggu pertama lagi saya sudah mengadakan Kuiz Tokoh Sahabat. Dan pada hari-hari seterusnya, saya mengadakan ulangkaji dalam bentuk yang berbeza. Antaranya adalah membuat latihan dengan membuka buku teks. Jika tidak dibenarkan, mahu saja catatan itu hanya tertulis soalan sahaja. Memandangkan mereka sangatlah 'laju' dalam menulis, maka saya terpaksa keluar dahulu kerana masa telah tamat. Sebelum keluar, saya berpesan :
"Sebelum hantar, balik!"
Setelah itu, saya terdiam beberapa saat..
"Eh, sebelum balik, hantar..!" (dalam hati mengutuk diri sendiri, apahal pula keluar bahasa terbalik ni..)
Kahkahkah..berdekah-dekah mereka menggelakkan guru baru yang terkial-kial ini.
"Dah dah.. Senyap! Buat kerja dan hantar.. Ingat tu.."
Pengajaran : Tabiat kita semasa di alam kampus, mungkin akan terbawa-bawa ke alam kerjaya, sekiranya tidak diubati..
Kisah 3
Minggu ini merupakan Minggu Peperiksaan Percubaan PMR kali ke-2 buat mereka. Ketika Peperiksaan Percubaan kali Pertama dahulu, negara teruk dilanda H1N1. Jadi ramai yang 'bercuti' sakit atau sengaja, dan dimaafkan oleh pihak sekolah. Maka terpaksa diadakan peperiksaan kali kedua yang lebih 'real' dan tiada pengecualian.
Menjadi pengawas peperiksaan agak membosankan. Tidak tahu apa yang perlu dibuat. Berbeza keadaannya di sini. Dengan 'selamba badak'nya, mereka berborak-borak seolah berada dalam kelas. Akibat penat menegur dan memberi amaran, akhirnya saya mendapat satu cara agar mereka tidak bersembang sesama sendiri, sambil meniru dan berbincang. Cara ini tidaklah tepat, tapi rasanya ini sahaja yang mampu saya lakukan..
Iaitu, bersembang dengan mereka!
Kerana mereka ini jenis 'tak reti duduk diam'. Jadi baiklah mereka berborak dengan saya, berbanding kawan-kawan mereka. Oleh kerana tiada topik yang sesuai (kalau ada pun, pasti akan menimbulkan kekecohan akibat gelak ketawa, dan itu bermakna bakal mengundang guru-guru lain datang ke dewan peperiksaan itu..), maka saya mulakan dengan pertanyaan :
"Ish.. Apesal kelas korang ni panas ha.. Tak rasa pun 'air-cond'nya!"
"Tulah. Air-cond tu ha, ada tikus dalam tu.. Sebab tulah..", salah seorang mereka menyahut.
Bagusnya mereka ini, apabila guru bersuara, tiada pelajar yang turut sama bersuara. Jika ada pun, hanya di dalam nada yang rendah. Tidak seperti pelajar Tingkatan 1 yang suara mereka sama kuat dengan suara guru. Penat!
"Ye ke.. Salah air-cond plak.. Korang ni solat subuh tak?", saya memancing lagi.
"Ish.. Mestilah solat.."
"Mesti banyak dosa ni.. Korang buat apa ha??", sengaja men'cucuk'.
"Mana ada. Ni kan kelas form 2 dulu. Diorang tu ha yang banyak buat dosa.. Kelas lama kitorang dulu sejuk kan?", mereka cuba menyelamatkan diri.
"Laa, kelas mana buat dosa. Yang buat tu penghuninya. Tak kiralah penghuninya duk mana, dosa ikut sama..", saya bercakap seolah tidak bersalah.
Saya menyambung lagi : "Korang nak tahu, dalam banyak-banyak bilik (kelas), yang mana paling sejuk? Bilik guru tau!"
Sengaja saya timbulkan hal itu. Kerana saya baru sahaja mendengar laporan, ada di antara mereka yang menipu ibubapa menyatakan ingin beriktikaf di masjid, sedangkan secara curi-curi mereka ke konsert artis yang digilai. Sudahlah menipu ibubapa, selit masuk pula dalam majlis artis bersama anak-anak yatim! Saya agak marah, namun tidak boleh dilepaskan begitu saja kepada mereka. Saya marah bukan saja kerana mereka 'anak' saya (saya selaku guru kelas), tetapi saya terfikirkan adik lelaki saya juga, adakah dia juga sanggup berbuat demikian? Nauzubillah...
"Istighfar banyak-banyak. Minta Allah ampunkan dosa. Bagi sejuk sikit kelas ni!"
"Astaghfirullahal-'adzim..!!", sahut mereka. Ada yang beristighfar sendirian hingga berhenti menjawab soalan seketika. Kelas kembali senyap. Masing-masing berfikir sendiri agaknya. Dalam hati, saya berdoa supaya saya dapat membantu mereka sebelum mereka menamatkan tingkatan 3, dan sebelum kontrak saya tamat hujung tahun ini.
Pengajaran : Anak-anak zaman sekarang, mudah sungguh terpengaruh dengan budaya barat. Artis yang tidak memberi manfaat digilai, ibubapa dan guru yang bersusah-payah mendidik dan memberi pendidikan dicampak tepi. Dunia.. Dunia... Selain doa, usaha juga perlu untuk menyedarkan generasi bakal pemimpin dunia ini!
:: CUKUP BAGIKU ALLAH ::
0 comments:
Catat Ulasan